3/6/2013 Lucut Kerakyatan Dua Individu Hina Agong: Syamsul Baharin Putra Ahmad Shabi
TINDAKAN dua pemilik laman sosial yang menghina Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah kelmarin perlu dikenakan tindakan tegas termasuk dilucutkan taraf kewarganegaraan mereka.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shabi berkata, ini kerana mereka berdua secara terangterangan mencabar institusi diraja serta tidak menghormati YDPA.
"Semalam merupakan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong dan sempena itu, Baginda telah bertitah. Bagaimanapun titah Baginda telah dikomen dalam Facebook dan Twitter.
"Antaranya yang dibuat pemilik blog yang dibuat dalam Facebook bahawa YDPA disamakan dengan 'patung kerajaan' dan juga sebagai "Pakcik Anjing Kedah."
"Pada saya, (ianya) tindakan keterlaluan dan kenyataan yang tidak masuk akal di mana kita sepatutnya menghormati institusi raja di dalam Perlembagaan yang sepatutnya dihormati.
"Tindakan itu, sepatutnya boleh dilucutkan terus kerakyatan beliau kerana tindakan berkenaan boleh menimbulkan kekacauan," katanya selepas membuat laporan polis bersama 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap dua individu berkenaan di Balai Polis Sungai Senam, dekat Ipoh, hari ini.
Kelmarin, pemilik akaun Twitter, twithandle@10befiend atau dikenali sebagai Effi Obediend menyamakan YDPA dengan panggilan "Pakcik Anjing Kedah" dan "Patung Kerajaan".
Manakala pemilik akaun Facebok yang dikenali sebagai Melissa Gooi membuat kenyataan menyebut 'dia boleh muntahkan semula makanan yang dimakan pada waktu pagi, tengahari dan malam semasa mendengar baginda bertitah'.
"Secara sinis ianya menghina dan tidak menghormati YDPA. Perbuatan sebegini harus dibendung di masa hadapan kerana sikap beliau tidak menghormati YDPA akan menganggu gugat dan perpaduan kaum di Malaysia.