Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa MCA supaya jujur mengenai duit yang diperoleh daripada Barisan Nasional (BN) dan memulangkan RM16.5 juta yang dikatakan diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk pilihan raya umum ke13.
Guan Eng mendakwa wang yang diterima oleh MCA itu dana dari 1MDB.
“Jangan sembunyi, jangan lari. Anda tidak boleh melindungi dan anda tidak boleh lari. Jadi pulangkan sahaja RM16.5 juta kepada 1MDB,” kata Guan Eng di Putrajaya.
Guan Eng membuat gesaan itu bagi mengulas satu wawancara oleh Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong bersama akhbar The Star yang memberitahu beliau tidak menyedari partinya ada menerima wang dari 1MDB dari Najib.
Sebelum ini bekas presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengakui bahawa Najib telah mengagihkan sejumlah RM 16.5 juta sebelum pilihan raya umum 2013.